
![]()
SUNGAI SIPUT – Seorang pemandu lori didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memindahkan 18 ekor lembu tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Perak, Mei lalu.
Orang Kena Saman (OKS), Muhammad Fauzan Razali, 27, juga berdepan hukuman penjara lapan bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Hukuman itu dijatuhkan selepas Muhammad Fauzan membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nazratul Natrah Mohd. Yusuf.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Fauzan didakwa telah memindahkan 18 ekor lembu hidup dengan menggunakan sebuah lori tanpa kebenaran bertulis yang sah daripada Pengarah DVS Perak atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa olehnya.
Lelaki terbabit didakwa melakukan perbuatan tersebut di Kilometer 42, Jalan Kuala Kangsar-Ipoh dalam daerah Kuala Kangsar pada pukul 2 pagi, 3 Mei 2025.
Terdahulu, peguam bela, Muhammad Zaem Ab Aziz yang mewakili OKS memohon agar mahkamah mengenakan hukuman denda minimum kerana kesalahan yang dilakukan tidak serius serta tidak melibatkan sebarang kerosakan harta benda atau kecederaan.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Perak, Roziman Awang Tahrin berkata, hukuman sewajarnya perlu dikenakan terhadap OKS kerana kesalahannya bukan perkara remeh sebaliknya penting bagi mengawal penularan penyakit dan keselamatan industri ternakan serta ekonomi negara. OKS membayar denda berkenaan. – KOSMO! ONLINE