
![]()
KUALA LUMPUR – Suasana penuh emosi menyelubungi Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini apabila delegasi media Timor-Leste tidak dapat menahan sebak sebaik negara mereka diangkat secara rasmi sebagai anggota ke-11 ASEAN.
Tinjauan Kosmo! di Pusat Media Antarabangsa mendapati beberapa wartawan dan jurufoto dari Timor-Leste menitiskan air mata kegembiraan bagi meraikan detik bersejarah yang menandakan penyertaan rasmi negara itu ke dalam blok serantau.
Bagi wartawan, Digna serrao, ia bukan sekadar peristiwa diplomatik, tetapi lambang pengiktirafan terhadap perjuangan panjang negara itu.
“Begitu banyak emosi yang dirasai saat ini, sudah lama kami nantikan detik untuk menjadi sebahagian daripada keluarga ASEAN.
“Akhirnya impian untuk menjadi anggota ke-11 ASEAN direalisasikan, kami berasa teramat teruja dan berbesar hati,” katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu, jurufoto, Antonio Guterres turut dilihat menitiskan air mata selain meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian negaranya.
“Saya menangis kerana sangat gembira. Akhirnya selepas lebih 13 tahun usaha untuk menjadi sebahagian daripada anggota ASEAN menjadi kenyataan,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan penantian selama 14 tahun Timor-Leste untuk menjadi ahli ke-11 blok serantau hari ini menjadi kenyataan apabila negara tersebut kini sah secara rasmi menjadi anggota ASEAN.
Peristiwa bersejarah itu tertulis pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hari ini selepas kesemua pemimpin negara-negara ASEAN menyempurnakan Majlis Menandatangani Deklarasi Penyertaan Timor-Leste hari ini. – KOSMO! ONLINE