KA Tutup Kilang 5 Hari, Bawa 100 Pekerja Bercuti Ke KL
Usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming atau lebih mesra dipanggil KA sekali lagi mencuri tumpuan apabila berkongsi video yang memaparkan percutiannya bersama para pekerja.
Menerusi video yang dimuat naik di media sosial miliknya, Khairul Aming berkata kilangnya ditutup selama lima hari bagi membawa pekerjanya seramai 100 orang untuk bercuti ke Kuala Lumpur.
“Alhamdulillah dapat peluang untuk kongsi rezeki dengan staf-staf yang baik,” katanya menerusi kapsyen di Instagram.
Ujarnya, para pekerja dapat merasai pengalaman melakukan pelbagai aktiviti, tinggal di hotel dan makan yang mewah.
“Semua tidak terkata tengok hotel yang mereka dapat dan lagi menarik hotel dekat sangat dengan KLCC. Malam-malam boleh naik ke ata bumbung dan nikmati pemandangan.
“Macam biasa juga, setiap kali percutian syarikat, kita tidak akan bagi staf guna duit mereka satu sen pun. Jadi semua staf akan dapat duit poket untuk mereka guna bagi membeli-belah atau beli apa-apa,” katanya.
BACA JUGA: KA Raikan Pekerja Lagi, Bawa Beli-Belah & Bagi Duit Raya
KA juga berkongsi bahawa semua pekerja menikmati hidangan wagyu A5 untuk makan malam.
“Mereka semua ini tidak pernah makan wagyu, jadi malam ini kita hadiahkan untuk mereka dan kita belanja berpuluh ribu ringgit untuk makan malam ini, sangat berbaloi,” katanya lagi.
Mereka juga dibawa ke taman tema air Splash Mania untuk melakukan semua aktiviti yang disediakan.
Selain itu, KA juga membawa para pekerjanya menaiki dua bas hop-on hop off untuk menikmati pemandangan di sekitar Kuala Lumpur. Hari-hari seterusnya pula diisi dengan pelbagai lagi aktiviti yang menarik di sekitar Kuala Lumpur termasuk membeli-belah.
Lebih bermakna apabila KA menyambut ulang tahun kelahiran bersama semua pekerjanya.
“Kebetulan waktu percutian ini adalah hari jadi KA sebenarnya. Jadi dapat staf yang baik seperti ini adalah hadiah hari jadi yang paling terbaik pernah KA dapat,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, orang ramai setiap tahun ternanti-nanti mengenai perkongsian ini kerana teruja melihat semua pekerja KA dihargai.
https://www.instagram.com/p/DPQcPXrE-q_/
Sumber: Khairul Aming
The post KA Tutup Kilang 5 Hari, Bawa 100 Pekerja Bercuti Ke KL appeared first on Siakap Keli.