
![]()
NEW DELHI – Sepasang suami isteri di India ditahan kerana merempuh seorang penghantar makanan selepas mangsa tidak sengaja melanggar cermin sisi kereta mereka, lapor portal berita Must Share News.
Mangsa dikenali sebagai Darshan terlanggar cermin sisi kereta yang dinaiki pasangan tersebut sekitar pukul 9 malam (waktu tempatan) di Bengaluru pada 25 Oktober lalu.
“Darshen ketika itu dalam perjalanan menghantar makanan dengan menunggang skuter yang dibonceng rakannya.
“Cermin sisi rosak tetapi tidak teruk. Dia sempat memohon maaf kepada suspek, Manoj Kumar dan isterinya, Aarati Sharma sebelum meneruskan perjalanan,” kata polis.
Berang dengan kejadian tersebut, Kumar segera membuat pusingan U lalu mengejar mangsa sebelum merempuhnya dari belakang.
Darshan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Polis mengesahkan bahawa pelanggaran itu sengaja dilakukan selepas mereka melihat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).
Rakaman CCTV menunjukkan kedua-dua suspek melarikan diri sebelum kembali ke tempat kejadian dan mengumpul serpihan yang bertaburan di jalan raya.
Mereka didakwa atas kesalahan membunuh dan diletakkan di bawah tahanan kehakiman selama 14 hari selepas dihadapkan ke mahkamah. – AGENSI