Tengku Abdul Rahman cadangkan nama tujuh pemain warisan Harimau Malaya

TENGKU Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah mengakui pernah mencadangkan beberapa pemain warisan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mengukuhkan revolusi skuad Harimau Malaya pada tahun lalu.

Tengku Abdul Rahman berkata, cadangan tersebut  dibuat dengan niat yang murni mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dengan hasrat untuk memastikan skuad kebangsaan mencapai standard yang tinggi.

“Sejak hujung tahun 2024, beberapa ejen telah menghubungi saya bagi mencadangkan pemain untuk tujuan penilaian.

“Saya memanjangkan cadangan terbabit kepada FAM untuk dinilai dengan lebih terperinci bagi menentukan sama ada pemain-pemain berkenaan memenuhi syarat sebagai pemain warisan dan seterusnya dipertimbangkan untuk menyertai skuad kebangsaan.

“Antara pemain yang pernah saya syorkan kepada FAM termasuklah tujuh pemain warisan yang kini terbabit dalam kes siasatan dan sekatan oleh FIFA.

“Untuk maklmuan, semua tujuh pemain tersebut diberikan kewarganegaraan oleh Kerajaan Malaysia melalui proses yang sah dan teratur mengikut peruntukan undang-undang negara,” titah baginda menerusi kenyataan semalam.

Tengku Abdul Rahman yang merupakan pemilik kelab Sri Pahang turut mengimbas peranan pasukan ketika melakukan naturalisasi pemain import seperti Mohamadou Sumareh, Sergio Aguero dan Lee Tuck.

“Sebelum ini Pahang juga pernah terlibat dalam proses naturalisasasi beberapa pemain dan usaha tersebut dilaksanakan dengan tujuan memperkukuhkan Harimau Malaya dan beri lebih banyak pilihan taktikal kepada jurulatih. 

“Setiap usaha yang dapat membantu mempertingkatkan standard bola sepak Malaysia akan sentiasa saya sokong,” kata Tengku Abdul Rahman lagi.

Sebagai rekod, tujuh pemain warisan negara telah dihukum penggantungan oleh FIFA dengan keputusan rayuan bakal diketahui seawal 30 Oktober depan.

Pemain terbabit adalah Facundo Garces, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Hector Hevel, Jon Irazabal, Gabriel Holgado dan Gabriel Palmero. – KOSMO! ONLINE

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Need Help?