
![]()
KUALA LUMPUR – Rang undang-undang (RUU) Ombudsman, kebebasan maklumat (FOI), pendanaan politik serta pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 juga akan dibentangkan termasuk merangkumi perlindungan dan insentif kepada pemberi maklumat.
Menurut beliau, keeempat-empat RUU tersebut sedang melalui proses libat urus termasuk dengan Parlimen, Majlis Peguam dan pihak-pihak berkepentingan lain untuk dimuktamadkan.
“Sebahagian dijangka dibentangkan awal tahun depan, manakala sebahagiannya pada pertengahan tahun,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) mengenai penggubalan RUU tersebut dalam usaha meningkatkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berhubung usaha mengesan dan membawa balik ahli perniagaan Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang juga menantu kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Anwar berkata, perkara itu memang sukar.
“Dalam kes yang disebut oleh (Ahli Parlimen) Kota Melaka tentulah itu sukar bila yang dituduh atau yang terkait itu lari keluar (negara), tapi proses (siasatan) itu terus dijalankan (oleh pihak berkuasa),” katanya. – KOSMO! ONLINE