Rumah dibaling api, telur angkara hutang orang lain

KUALA LUMPUR – “Saya takut, setiap kali keluar rumah rasa macam sedang diperhati. Ini bukan kali pertama saya diugut.”

Demikian luahan Azizan Aziz, 69, yang mendakwa menjadi mangsa ugutan dan serangan selepas identitinya disalahgunakan bagi tujuan pinjaman dalam talian.

Menurut warga emas itu, pihak tidak bertanggungjawab tersebut menggunakan alamat rumahnya untuk menghantar surat ugutan daripada kumpulan along.
“Along tampal surat ugutan di pintu rumah dan rantai pagar. Saya berasa terancam sebab saya bukan peminjamnya. Mereka turut menghantar gambar anak saya melalui mesej dan mengugut untuk datang ke rumah,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini, hari ini.

Azizan berkata, susulan kejadian itu, dia membuat tiga laporan polis, namun kumpulan ceti haram tersebut masih melakukan ugutan termasuk membaling api ke rumahnya yang dirakam menerusi televisyen litar tertutup (CCTV).

Sementara itu, seorang lagi mangsa dikenali sebagai Umi, 65, dari Jerantut, Pahang berkata, kehidupannya berubah selepas membuat pinjaman dengan sebuah syarikat dipercayai beroperasi secara tidak sah.

“Mereka mengaku daripada syarikat pinjaman wang berlesen, tetapi sebenarnya tidak. Tiada kehadiran peguam dan saya hanya menandatangani perjanjian di dalam kereta.

“Kad bank saya pernah dipegang mereka. Bila saya sedar, saya buat kad (bank) baharu dan buat laporan polis. Sejak itu, rumah saya dibaling telur, malah muka saya disebarkan dalam Facebook,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Need Help?