
![]()
BANGI – Sepasang suami isteri antara beberapa individu ditahan selepas pihak berkuasa menyerbu beberapa premis termasuk sebuah kondominium di Bandar Puteri Bangi yang dijadikan lokasi penyimpanan ubat tidak berdaftar, hari ini.
Serbuan kira-kira pukul 9 pagi itu dijalankan oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Selangor, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dengan kerjasama Ibu Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan (KKM) serta Polis Diraja Malaysia.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM, Mohd. Zawawi Abdullah berkata, tindakan itu hasil risikan selama dua bulan terhadap kegiatan penjualan ubat tidak berdaftar yang dipercayai digunakan oleh individu tertentu termasuk golongan ‘body builder’ bagi tujuan membina otot dengan cepat.
Katanya, antara ubat tidak berdaftar yang dirampas sebahagian besarnya datang dari luar negara adalah ubat mengandungi anabolic steroid.
“Pegawai penguat kuasa farmasi telah menjalankan pemeriksaan ke atas lima buah premis yang dijadikan lokasi penyimpanan ubat tidak berdaftar di Bandar Puteri Bangi dan Klang.
“Hasil pemeriksaan telah berjaya merampas lebih daripada 500 jenis ubat tidak berdaftar dengan nilai rampasan melebihi RM3 juta,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi, hari ini.
Menurut Mohd. Zawawi, siasatan awal mendapati bahan itu dipercayai dijual secara dalam talian sekitar RM100 hingga RM500 setiap produk dan diedarkan terus kepada pelanggan.
“Ada juga jenis ubat ‘khas’ yang dijual pada harga melebihi RM500 di premis ini.
“Kesemua serbuan (premis) ini dipercayai mempunyai kaitan (sindiket) antara satu sama lain dan aktif sejak tahun 2020,” ujarnya.
Beliau berkata, penggunaan suntikan steroid tanpa kawalan boleh mendatangkan kesan buruk seperti penipisan kulit, peningkatan paras gula dalam darah, tekanan darah tinggi serta gangguan hormon.
“Penggunaan berlebihan juga boleh menyebabkan jangkitan, perubahan emosi, bengkak muka dan dalam jangka panjang merosakkan organ dalaman seperti hati dan buah pinggang,” jelasnya.
Tambahnya, penjualan dan pemilikan ubat tidak berdaftar melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12, Akta Jualan Dadah 1952.
“Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM50,000,” katanya.
Dalam pada itu katanya, KKM menerusi kempen kesedaran Tolak Ubat Tidak Sah (TOBaTS) turut menggesa orang ramai agar hanya membeli produk kesihatan yang berdaftar dan mempunyai nombor pendaftaran ubat (MAL) serta pelekat keselamatan hologram.
Beliau menyeru, orang ramai disarankan menyemak status pendaftaran produk di laman web NPRA (www.npra.gov.my) atau menyalurkan aduan berkenaan ubat meragukan melalui portal SisPAA (moh.spab.gov.my) atau talian 03-7841 3200 bagi tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE