Lelaki Kaya, Ada 5 Ijazah Sarjana Nekad Jadi Gelandangan Demi Bahagia
Seorang lelaki muda dari China telah mencetuskan kontroversi apabila meninggalkan gaya hidup elit untuk hidup sebagai gelandangan, dengan hanya berbelanja 100 yuan (kira-kira RM60 sebulan).
South China Morning Post melaporkan individu yang dikenali sebagai Zhao Dian, 32, merupakan seorang yang cemerlang dalam akademik, memperoleh dua ijazah sarjana muda dan tiga ijazah sarjana dalam bidang kewangan dari institusi pengajian di Sydney, New York, Beijing dan Paris.
Difahamkan, lelaki ini lebih cenderung kepada pencarian ilmu pengetahuan walaupun sering menerima tekanan daripada ibu bapanya untuk mencapai kejayaan.
Namun, dia menganggap pendidikan berprestij itu sebagai satu “belenggu” akibat zaman kanak-kanaknya yang bermasalah dan hubungan renggang dengan ibu bapanya.
Selepas bertahun-tahun di luar negara, dia menemui kegembiraan dalam melakukan tugas mudah seperti mencuci pinggan di sebuah restoran Cina di Paris.
“Tugas mencuci pinggan juga boleh membawa kebahagiaan, jadi mengapa perlu menunggu pekerjaan yang dianggap ideal?” kata Zhao Dian.
Menurut SCMP, lelaki tersebut membuat keputusan drastik untuk hidup di jalanan sewaktu tiba di Dali, Yunnan.
Nekad pilih jadi gelandangan kerana lagi bahagia
Kini, dia hidup dengan perbelanjaan hanya 100 yuan (kira-kira RM60 sebulan), makan di restoran vegetarian percuma dan tidur menjelang 9 malam dengan simpanan peribadi berjumlah sekitar 2,500 yuan (kira-kira RM1,500).
Pakaiannya hanya daripada pakaian terpakai, malah masanya kini diisi dengan membaca, mengembara dan menganjurkan kelab buku serta berkongsi video kaunseling psikologi dalam talian.
Walaupun sudah memutuskan hubungan dengan ibu bapanya yang tinggal di New Zealand, Zhao masih berhubung secara dalam talian dengan anak perempuannya yang berusia 10 tahun hasil hubungan terdahulu.
Selain itu, Zhao juga melancarkan projek untuk membantu kanak-kanak mencari minat sebenar mereka kerana percaya ramai yang hilang arah akibat persekitaran pendidikan yang toksik.
Lelaki ini merasakan memilih untuk tidak mengikut laluan konvensional demi gaya hidup berbelanja rendah telah meningkatkan rasa kepuasan dalam dirinya, walaupun pilihannya yang luar biasa itu mencetuskan pelbagai reaksi.
Terdapat warga maya yang bersimpati dengan usahanya untuk memulihkan luka emosi.
Manakala ada juga yang mengkritiknya sebagai terlalu idealistik dan tidak bertanggungjawab kerana mengabaikan pelaburan ibu bapanya serta tanggungjawabnya sebagai seorang bapa.
BACA: Servis Kereta Tak Sama? Ini Perbezaan “Major Service” & “Minor Service” Yang Ramai Salah Faham
Sumber: South China Morning Post
The post Lelaki Kaya, Ada 5 Ijazah Sarjana Nekad Jadi Gelandangan Demi Bahagia appeared first on Siakap Keli.