Kilang produk kacang di Sungai Siput guna logo halal palsu

KUALA KANGSAR – Sebuah kilang memproses makanan di Sungai Siput di sini didapati menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) palsu dalam serbuan dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan pada pukul 11 pagi yang berjaya menghasilkan kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Perakuan dan Penandaan Halal) itu dilaksanakan pihaknya dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

“Hasil serbuan mendapati kilang ini beroperasi mengeluarkan produk makanan iaitu kacang serta menggunakan logo halal pada bungkusan produk berkenaan. “Produk makanan ini juga dipercayai adalah untuk edaran jualan di seluruh Semenanjung Malaysia terutama di Perak,” katanya di sini hari ini.

Kamalludin berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, pemilik kilang telah gagal mengemukakan Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah.

Sehubungan itu, beliau berkata, satu tindakan kes telah diambil di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

“Sebanyak 661 unit produk kacang yang menggunakan logo halal tidak sah dan dokumen berkaitan telah disita. Nilai keseluruhan barang rampasan adalah dianggarkan berjumlah RM5,355.90.

“Kes akan disiasat dibawah Akta Perihal Dagangan 2011 bagi kesalahan menggunakan logo halal tanpa pengesahan Jakim,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Need Help?