Kapal Mikeno GSF Masuki Perairan Gaza
ISTANBUL, 2 Okt (Bernama) — Kapal Mikeno yang terpisah daripada flotila bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) sampai ke perairan wilayah Gaza pada pagi Khamis, lapor Anadolu Ajansi.
Menurut penjejak rasmi flotila, kapal itu memasuki perairan wilayah Gaza; namun isyarat penjejakan hilang apabila kapal itu berada kira-kira 9.3 batu nautika dari Gaza.
Tiada maklumat jelas mengenai sama ada kapal itu diserang dan ditunda, berjaya mengelak pasukan Israel, atau berlaku ralat pada sistem penjejak.
Pasukan tentera laut Israel menyerang flotila bantuan antarabangsa yang menuju ke Semenanjung Gaza yang dikepung dan menahan 223 aktivis di dalamnya, menurut penganjur pada Khamis.
BACA JUGA: Sumud Flotilla: Pendekatan Diplomasi, Bukan Ketenteraan Lebih Wajar Digunakan – Khaled Nordin
GSF berkongsi di platform media sosial Instagram, nama dan kerakyatan 223 aktivis di dalam 15 kapal yang diserang.
Aktivis di dalam kapal yang diserang oleh Israel terdiri daripada pelbagai kerakyatan termasuk warga Sepanyol, Itali, Brazil, Turki, Greece, Amerika Syarikat, Jerman, Sweden, Britain dan Perancis.
Kementerian Luar Israel menyatakan di platform media sosial X bahawa aktivis yang ditahan sedang dibawa ke Pelabuhan Ashdod, Israel, dan dari situ mereka akan dihantar pulang ke Eropah.
Penjejak rasmi flotila menunjukkan terdapat 21 kapal diserang oleh tentera Israel, dengan 23 lagi masih dalam pelayaran menuju Gaza.
Sumber: Bernama
The post Kapal Mikeno GSF Masuki Perairan Gaza appeared first on Siakap Keli.