Isteri buat bariatrik sebab body shaming – Prince Syed

PETALING JAYA – “Saya dah banyak kali larang, tapi dia tetap nak buat sebab dah penat sangat kena body shaming.”

Itu luahan usahawan dan pempengaruh media sosial, Prince Syed atau nama sebenarnya Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman, 33, yang tampil menjelaskan mengenai keadaan isterinya, Fatin Syazwani Ishak, 27, selepas tular isu berhubung pembedahan bariatrik yang dilakukan wanita berkenaan baru-baru ini.

Menurut Prince Syed, dia pada awalnya tidak bersetuju isterinya menjalani prosedur berkenaan namun akhirnya memilih untuk menghormati keputusan wanita itu selepas melihat tekanan emosi yang dihadapinya akibat sering menjadi bahan ejekan masyarakat.
“Saya dah kata jangan buat, tapi dia tetap nak buat sebab orang asyik kutuk rupa dia. Muka cantik tapi gemuk, pendek…itu antara ayat yang selalu dia dengar. Lama-lama dia stres dan ambil keputusan untuk buat pembedahan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Prince Syed berkata, isterinya pada mulanya seorang yang tidak mudah mengambil hati dengan kata-kata orang, namun ejekan berterusan terutama di media sosial menyebabkan wanita itu semakin tertekan.

“Kak Fatin ni asalnya jenis tak kisah orang cakap apa, tapi bila hari-hari orang komen pasal badan, gemuklah, pendeklah, siapa pun boleh hilang keyakinan diri.

“Dia bukan buat sebab nak jadi kurus semata-mata, tapi sebab dia dah terlalu letih kena kutuk,” ujarnya.

Dalam masa sama, Prince Syed turut mendedahkan isterinya mengalami masalah kolesterol dan tabiat pemakanan tidak sihat yang turut menjadi pendorong untuk menjalani pembedahan tersebut.

Tambahnya, pembedahan tersebut dilakukan di sebuah hospital swasta di Ipoh pada 8 Oktober lalu dan berjalan lancar tanpa sebarang komplikasi.

“Selepas pembedahan, dia cergas, tak ada rasa sakit pun. Doktor pun cakap perut dia cantik, tak ada masalah.

“Yang buat dia masuk hospital tempoh hari pun bukan sebab pembedahan tu, tapi sebab dia tak cukup air,” katanya.

Menjawab tuduhan kononnya dia mengongkong isteri, Prince Syed menegaskan dirinya tidak pernah mengawal kehidupan wanita itu, sebaliknya hanya menjaga dan melindungi ketika isterinya dalam keadaan lemah selepas pembedahan.

“Orang ingat saya kongkong wife (isteri), padahal tak pernah pun. Kalau saya nak kongkong, dari dulu lagi saya dah buat. Saya cuma jaga dia sebab dia tengah tak sihat,” tegasnya.

Beliau dalam masa sama meminta orang ramai untuk berhenti membuat spekulasi dan mendoakan kesihatan isterinya yang kini semakin pulih.

“Doktor dah sahkan semuanya okay. Jadi tolong jangan terus salah faham. Doakan yang baik-baik untuk dia,” ujarnya.

Terdahulu, nama Prince Syed dan isterinya menjadi bualan netizen selepas tular rakaman seorang wanita mendakwa dirinya adalah ibu mentua Prince Syed hadir telah dihalang untuk berjumpa dengan anak serta cucunya.

Dalam video sama, wanita berkenaan turut mendakwa Prince Syed berkahwin dengan Fatin Syazwani untuk menjadikan wanita itu tikus makmal dengan memaksa menjalani pembedahan bariatrik bagi menjual produk pelangsingan badan. – KOSMO! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Need Help?