Istana paling ‘berpuaka’ untuk dijual, harga cuma RM29 juta

DUBAI – Istana Al Qasimi di Ras Al Khaimah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang telah lama ditinggalkan dan terkenal dengan kisah seram kini diiklankan untuk dijual pada harga 25 juta dirham (RM29 juta), lapor portal berita Gulf News.

Istana empat tingkat itu dibina pada tahun 1985 oleh Allahyarham Sheikh Abdulaziz bin Humaid Al Qasimi, meliputi keluasan 20,000 meter persegi dan mempunyai 35 bilik.

Seni binanya menggabungkan gaya Islam, Maghribi, Parsi dan  lengkap dengan lampu candelier dari Perancis serta Belgium. Istana itu menampilkan lantai marmar Thasso serta piramid kaca di atas bumbung.

Selama lebih 30 tahun, istana itu berdiri senyap di atas bukit sunyi, menimbulkan kekaguman dan ketakutan. 

Penduduk tempatan berkata, terdapat jin, cahaya berkelip dan bayangan hantu, sehingga istana itu digelar ‘Istana Berhantu’.

Sheikh Abdulaziz sendiri tidak pernah mendiami bangunan tersebut. 

Bantahan keluarga terhadap arca dan karya seni yang menggambarkan manusia dan haiwan menyebabkan ia dibiarkan kosong sehingga timbul khabar angin tentang gangguan makhluk halus.

Dalam wawancara eksklusif bersama Gulf News, Tareq Ahmad Al Sharhan iaitu pemilik semasa istana itu  mengesahkan bahawa ia ditawarkan untuk dijual dengan syarat pembeli adalah warganegara UAE.

“Tujuan saya menjualnya semata-mata atas sebab pelaburan. Istana ini mempunyai nilai budaya dan sejarah yang besar. Saya percaya ia layak dimiliki oleh seseorang yang benar-benar menghargai kedua-duanya,” kata Tareq.  – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Need Help?