
![]()
PETALING JAYA – Ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin melalui satu hantaran di Instagram mendakwa dirinya dan keluarga dianiaya serta difitnah.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen di sini memutuskan Ismanira Abdul Manaf, 30, dijatuhkan hukuman penjara lima tahun selepas dia didapati bersalah mengabaikan anak sulungnya itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal antara 5 dan 6 Disember 2023 di Damansara Damai, dekat sini.
Hantaran tersebut dikhuatiri boleh mengakibatkan individu berkenaan dikenakan tindakan akibat menghina mahkamah.
Kosmo! melaporkan, keluarga Allahyarham Zayn Rayyan merayu agar pihak berkuasa meneruskan siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu secara telus dan adil.
Datuk kepada Zayn Rayyan, Zahari Mohd. Reba, 57, berkata walaupun keputusan terhadap ibu mangsa, Ismanira Abdul Manaf, telah diputuskan oleh mahkamah hari ini, persoalan tentang siapa pembunuh sebenar masih belum terjawab.
“Walaupun keputusan telah dibuat, kami masih mahu tahu status siasatan pembunuhan Zayn Rayyan. Pembunuh masih ada di luar sana.
“Sehingga kini, polis gagal menjalankan siasatan. Saya minta pihak bertanggungjawab meneruskan siasatan dengan telus dan adil,” katanya kepada media selepas prosiding di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Antara perbuatan-perbuatan penghinaan mahkamah ialah penerbitan yang prejudis kepada perbicaraan yang adil, penerbitan yang prejudis kepada prosiding sivil yang adil dan penerbitan bahan-bahan yang mengganggu proses keadilan yang berterusan.
Contoh-contoh lain adalah penghinaan atau pencetusan skandal kepada mahkamah sendiri dan tindakan yang mengganggu tindakan undang-undang.- KOSMO! ONLINE