Hadiah Sudah Diberi, Kemudian Tidak Dihalalkan? Ini Penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

hadiah tidak dihalalkan

Hadiah Sudah Diberi, Kemudian Tidak Dihalalkan? Ini Penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Ketika perasaan gembira bertamu dalam hati, semua benda dan hadiah mahu diberikan kepada orang lain. Namun, apabila sedang bergaduh atau tidak sefahaman, habis segalanya diungkit semula.

“Saya tak halalkan pemberian sebelum ini,” itulah antara ungkapan yang sering kedengaran apabila seseorang dilanda rasa marah atau kecewa dalam hubungan.

Situasi sebegitu sering menimbulkan rasa serba salah kepada si penerima, lebih-lebih lagi apabila pemberian terdahulu berupa makanan yang telah pun menjadi darah daging, atau berbentuk wang yang telah digunakan.

Andai si pemberi menyatakan tidak menghalalkan pemberian itu, apakah hukumnya? Adakah kita perlu membayar semula duit kos makanan dan memulangkan duit tersebut?

Untuk menjawab persoalan tersebut, mari kita ikuti kupasan dan jawapan yang disediakan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan isu ini.

Soalan

Assalamualaikum SS Datuk Mufti, saya ingin bertanya. Beberapa tahun lepas, kakak saya pernah memberi sejumlah duit kepada saya sewaktu saya dalam kesusahan. Saya ingin membayar semula secara ansuran tetapi dia menolak dan berkata dia ikhlas sedekah untuk membantu saya.

Kebelakangan ini, timbul salah faham antara kami yang menyebabkan dia marah dan mengungkit semula pemberiannya. Dia mengatakan bahawa dia tidak halalkan duit dan apa-apa makan yang dia pernah tanggung dahulu. Jadi, saya ingin bertanya perlukah saya membayar semula duit dan kos makan minum tersebut?

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Bersedekah merupakan amalan yang sangat mulia berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّ الْمُصَّدِّقِينَ وَالْمُصَّدِّقَاتِ وَأَقْرَضُوا اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا يُضَاعَفُ لَهُمْ وَلَهُمْ أَجْرٌ كَرِيمٌ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya orang yang bersedekah baik lelaki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah dengan pinjaman yang baik, akan dilipatgandakan balasannya bagi mereka dan mereka akan mendapat pahala yang mulia.”

(Al-Hadid: 18)

Pada asasnya, apabila suatu sedekah atau hibah telah diambil oleh penerima, ia telah menjadi hak milik penerima tersebut sepenuhnya dan dia boleh menggunakan harta itu sebagaimana yang dia mahu.

Pemberi pula sudah hilang hak pemilikannya terhadap wang yang diberi tersebut[1]. Oleh itu, pemberi itu tiada kuasa untuk tidak menghalalkan pemberian tersebut, bahkan ia boleh dianggap seperti perbuatan meminta semula pemberian yang termasuk dalam sabda Nabi SAW:

لَيْسَ لَنا مَثَلُ السَّوْءِ ‌الَّذِي ‌يَعودُ ‌فِي ‌هِبَتِهِ كالْكَلْبِ يَرْجِعُ فِي قَيْئِهِ

Maksudnya: “Kita tidak melakukan perbuatan yang buruk itu, iaitu mereka yang meminta semula pemberian (hibah) samalah seperti anjing yang menelan semula muntahnya.”

Dalam hadis lain pula disebut secara jelas bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَحِلُّ لِلرَّجُلِ أَنْ يُعْطِيَ عَطِيَّةً ثُمَّ يَرْجِعُ فِيهَا ‌إِلَّا ‌الوَالِدَ ‌فِيمَا ‌يُعْطِي ‌وَلَدَهُ، وَمَثَلُ الَّذِي يُعْطِي العَطِيَّةَ ثُمَّ يَرْجِعُ فِيهَا كَمَثَلِ الكَلْبِ أَكَلَ حَتَّى إِذَا شَبِعَ قَاءَ ثُمَّ عَادَ فِي قَيْئِهِ

Maksudnya: “Tidak halal bagi seorang lelaki memberi sesuatu pemberian kemudian dia memintanya semula kecuali bapa meminta semula apa yang diberikan kepada anaknya.

Misalan bagi orang yang memberikan sesuatu pemberian dan memintanya semula adalah sama seperti seekor anjing yang makan hingga kenyang lalu ia muntah, kemudian ia memakan semula muntahnya itu.”

Riwayat Abu Daud (3539) dan al-Tirmizi (2132)

Dr Muhammad al-Zuhaili menjelaskan bahawa hadis ini menunjukkan pengharaman meminta semula pemberian sepertimana haram menelan semula minta dan ia merupakan sifat buruk yang bertentangan dengan akhlak seorang muslim[2].

Namun, Nabi SAW mengecualikan situasi seorang ayah menuntut semula pemberian daripada anaknya seperti yang telah dijelaskan lanjut dalam artikel “Al-Kafi #1627: Adakah Bapa Boleh Menuntut Semula Pemberiannya Kepada Anaknya?”[3].

Di samping itu, kata-kata tersebut juga termasuk dalam perbuatan mengungkit-ungkit pemberian dan menyakiti perasaan penerimanya. Perbuatan ini haram dan boleh meluputkan pahala sedekah. Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ‌لَا ‌تُبۡطِلُواْ صَدَقَٰتِكُم بِٱلۡمَنِّ وَٱلۡأَذَىٰ كَٱلَّذِي يُنفِقُ مَالَهُۥ رِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَلَا يُؤۡمِنُ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۖ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ صَفۡوَانٍ عَلَيۡهِ تُرَابٞ فَأَصَابَهُۥ وَابِلٞ فَتَرَكَهُۥ صَلۡدٗاۖ لَّا يَقۡدِرُونَ عَلَىٰ شَيۡءٖ مِّمَّا كَسَبُواْۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡكَٰفِرِينَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu merosakkan (pahala amalan) sedekahmu dengan mengungkit-ungkit dan menyakiti (perasaan penerimanya) seperti orang yang membelanjakan hartanya kerana riyak kepada manusia sedangkan dia tidak beriman dengan Allah dan hari akhirat.

Maka orang itu diumpamakan seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian apabilah hujan lebat menimpa batu itu, lalu bersih dan licinlah kembali (tiada lagi tanah di atasnya). Mereka tidak memperoleh sesuatu atas apa-apa yang diusahakan oleh mereka dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.”

(Al-Baqarah: 264)

Kesimpulan

Segala pemberian sama ada dalam bentuk wang, barang atau makanan yang telah diterima oleh penerima telah menjadi hak milik penerima sepenuhnya.

Pemberi tiada hak untuk tidak menghalalkan pemberian tersebut dan penerima tidak wajib memulangkan semula apa yang telah diberi kepadanya.

Berkata “aku tidak menghalalkan pemberian” dikira sebagai pengungkit-ungkitan pemberian yang boleh meluputkan pahala sedekah. WaAllahua’lam

BACA: Mufti Wilayah Persekutuan Jelaskan Hukum Kongsi Gambar “Ultrasound” Bayi

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

The post Hadiah Sudah Diberi, Kemudian Tidak Dihalalkan? Ini Penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan appeared first on Siakap Keli.

Read original article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Need Help?