FIFA Tak Dapat Selesaikan Masalah Geopolitik – Infantino
Presiden Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino berkata pada Khamis bahawa pihaknya tidak dapat menyelesaikan masalah geopolitik seperti yang berlaku di Gaza.
Beliau berkata sedemikian susulan berada di bawah tekanan untuk menggantung Israel berhubung konflik dengan Palestin.
Badan induk dunia sukan itu berkata dalam satu kenyataan bahawa pada mesyuarat Majlis FIFA, Infantino menekankan kepentingan mempromosikan keamanan dan perpaduan, khususnya dalam konteks situasi berterusan di Gaza.
BACA: FAM Masih Tunggu Keputusan Penghakiman Penuh FIFA
“Di FIFA, kami komited untuk menggunakan kuasa bola sepak untuk menyatukan orang ramai dalam dunia yang berpecah-belah.
“Pemikiran kami adalah dengan mereka yang menderita dalam banyak konflik yang wujud di seluruh dunia hari ini dan mesej paling penting yang boleh disampaikan oleh bola sepak sekarang ialah keamanan dan perpaduan.
“FIFA tidak boleh menyelesaikan masalah geopolitik, tetapi ia boleh dan mesti mempromosikan bola sepak di seluruh dunia dengan memanfaatkan nilai penyatuan, pendidikan, budaya dan kemanusiaannya,” katanya.
Imbas kembali, FIFA mengharamkan Rusia pada 2022, sejurus selepas tentera Rusia menyerang Ukraine.
Justeru, peminat bola sepak di seluruh dunia menggesa agar FIFA turut mengenakan tindakan sedemikian kepada pasukan Israel.
Sumber: AFP
The post FIFA Tak Dapat Selesaikan Masalah Geopolitik – Infantino appeared first on Siakap Keli.