Festival i-Lindung: Diskaun 80 peratus majikan lewat bayar Caruman

SHAH ALAM – Pemberian diskaun sehingga 80 peratus kepada majikan yang lewat membayar Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) menjadi tarikan utama Festival Mega i-Lindung u 2025 yang berlangsung di pekarangan Stadium Shah Alam.

Festival selama empat hari bermula semalam itu dianjurkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi mempromosikan empat teras perlindungan sosial di bawah produk baharu ‘Lindung’ merangkumi pekerja, kerjaya, kendiri dan kasih.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, inisiatif tersebut membantu majikan menyelesaikan tunggakan caruman sekali gus menggalakkan pematuhan terhadap keselamatan sosial pekerja. “Ini kerana kita ingin melihat kepada memudahkan dan tidak membebankan mana-mana majikan.

“Mereka yang dikenakan bayaran lewat bayar boleh hadir ke festival ini untuk mendapatkan diskaun dan kes tidak diteruskan kepada tindakan undang-undang,” katanya ketika ditemui selepas sesi lawatan ke festival itu, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata Perkeso turut melaksanakan transformasi digital apabila tuntutan kemalangan pekerjaan dan skim pencen ilat boleh dibuat secara dalam talian sejak dua minggu lalu tanpa kehadiran fizikal ke pejabat.

“Insya-Allah, proses sama akan diperluaskan kepada semua produk di bawah payung Lindung,” katanya.

Mohammed Azman menambah, penganjuran festival ini bukan sekadar program santai tetapi usaha mendekatkan rakyat dengan sistem perlindungan sosial.

“Kita ingin membantu pencarum sedia ada dan bakal pencarum merasai semangat Lindung yang membawa simbol kesejahteraan sosial, bukan sekadar perlindungan tetapi kasih, tanggungjawab dan kebersamaan,” jelasnya.

Segelintir pencarum Perkeso yang membuat saringan kesihatan di Festival Mega i LINDUNG u 2025 di pekarangan Stadium Shah Alam hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

Jelasnya, Perkeso menyasarkan kehadiran 70,000 pengunjung dari seluruh Lembah Klang sepanjang empat hari penganjuran itu.

“Siri jelajah festival sama diperluaskan ke negeri lain termasuk Pulau Pinang pada November atau Disember ini,” katanya.

Festival tersebut turut menyediakan perkongsian kesihatan serta saringan kanser percuma oleh Majlis Kanser Nasional (Makna), saringan kesihatan percuma serta sesi borak santai bersama aktivitis kemanusiaan dan bekas wartawan, Zainal Rashid Ahmad.

Malah, pengunjung bertuah berpeluang membawa pulang hadiah menarik bernilai keseluruhan RM20,000 termasuk tablet, basikal, jam tangan dan banyak lagi. – KOSMO! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Need Help?