
![]()
STOCKHOLM – Penggempur baharu Liverpool, Alexander Isak mengakui prestasinya yang terumbang ambing bersama kelab itu berpunca daripada masalah kecederaan yang menjejaskan tahap kecergasan.
Konflik perpindahan dari Newcastle United pada musim panas lalu menyebabkan Isak terlepas sesi latihan dan perlawanan pramusim yang dianggap menjejaskan prestasinya sehingga kini.
Sebaik menyertai Liverpool, Isak berdepan masalah kecederaan pangkal paha ketika aksi Liga Juara-Juara menentang Eintracht Frankfurt dan terpaksa berehat empat perlawanan sebelum diletakkan sebagai pemain simpanan ketika tewas kepada Manchester City.
Dia kembali ke pangkuan pasukan kebangsaan Sweden untuk aksi kelayakan Piala Dunia ketika mereka tewas 1-4 menentang Switzerland dan hanya masuk sebagai pemain gantian dengan aksi 28 minit.
“Saya rasa lebih baik. Respons yang diberikan oleh badan saya selepas perlawanan sangat baik.
“Saya berharap dapat kembali beraksi sepenuh masa untuk aksi selepas ini. Sangat mengecewakan apabila anda berdepan masalah kecederaan. Sama ada terlepas satu aksi atau lebih, ia bukan perkara yang dimahukan sebagai pemain.
“Saya tidak suka memberikan alasan, saya mahu memberikan aksi terbaik setiap kali turun di padang. Saya kini semakin positif dan percaya mampu memberikan sumbangan yang lebih baik untuk kelab dan negara,” jelasnya. – AGENSI