Dipujuk ‘Abang Long’, Linda Rafar tak jadi keluar Elite

PETALING JAYA – Selepas sebulan memberi bayangan mahu berundur daripada Elite, penyanyi Linda Rafar kini memilih untuk kekal dengan kumpulan yang dianggotainya sejak tiga dekad lalu itu.

Linda atau nama sebenarnya Azlinda Abdul Rafar, 47, berkata, pujukan pengasas kumpulan itu, Datuk Norman Abdul Halim membuatkannya kembali bersemangat untuk meneruskan perjuangan bersama empat lagi ahli lain.

“Terima kasih Allah SWT dan semua yang mendoakan Linda terus kekal bersama kumpulan Elite.

“Perkenalan Linda dengan Norman sejak tahun 1995, sudah 30 tahun. Keputusan yang saya buat sebelum ini bukan perkara mudah,” katanya dalam hantaran Instagram.

Menurut Linda, sejak awal pembabitannya dalam industri, selain rakan sekumpulan, Norman juga merupakan individu yang sentiasa menenangkan dirinya setiap kali berdepan masalah.

Katanya lagi, sifat sensitif yang dimiliki sejak zaman remaja menjadi antara punca dia mudah terasa hati, namun cepat memaafkan.

“Puas dan penat juga abang long (Norman) nak memujuk. Memang sejak Linda umur 16 tahun lagi, kalau ada masalah, abang long yang berjaya memujuk.

“Maklumlah dalam Elite sayalah yang paling muda dan paling manja, betul tak Norman? Sebab itu sampai sekarang tak hilang naluri seorang yang sangat sensitif.

“Cepat terasa tapi sangat mudah memaatkan sesiapa sahaja. Pada Sasha, Watie dan Azza, terima kasih sudi teman masa sesi memujuk,” katanya.

Pada 29 Oktober lalu, Linda mengejutkan ramai apabila memberi bayangan mahu menarik diri daripada Elite selepas mendakwa emosinya terjejas berikutan kecaman ramai.

Katanya, kutukan netizen termasuk komen negatif yang mempertikaikan kehadirannya dalam kumpulan tersebut sangat melukakan perasaan.

Selain Linda, Sasha, Watie dan Azza, Elite yang ketika awal kemunculan bernaung di bawah KRU Records turut dianggotai Abby Abadi.

Nama Elite mekar semula selepas diundang beraksi di Konsert GenKRU pertengahan tahun ini sebelum muncul dalam konsert solo di Dewan Plenary KLCC pada September lalu. – KOSMO! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Need Help?