BUDI95: Kerajaan Setuju Beri Pemandu E-hailing Sepenuh Masa Kelayakan Tambahan
Kerajaan telah bersetuju memberi pemandu e-hailing sepenuh masa dengan had kelayakan tambahan bagi inisiatif BUDI95.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata penambahan had tersebut akan diberikan sebelum pertengahan bulan Oktober 2025.
“Pemandu e-hailing tidak perlu memohon secara individu. Kerajaan akan berurusan dengan Syarikat Pengendali e-hailing (EHO) untuk membuat permohonan secara berkelompok,” kata kementerian itu pada Rabu.
Dalam kenyataan itu juga, Kementerian Kewangan berkata had kelayakan subsidi RON95 sebanyak 300 liter sebulan bagi setiap warganegara yang layak telah diperbaharui pada 1 Oktober dan manfaat ini akan diperbaharui setiap 1 hari bulan.
BACA: BUDI95: Proses Permohonan Kelayakan Tambahan Pemandu E-hailing Dimuktamad Minggu Ini
Selain itu, kerajaan juga telah bersetuju untuk melanjutkan kelayakan untuk BUD195 kepada warganegara yang merupakan pemilik bot berdaftar, tanpa memerlukan lesen memandu yang sah.
“Kerajaan Persekutuan sedang bekerjasama dengan agensi Kerajaan Negeri yang berkenaan, seperti Lembaga Sungai-sungai Sarawak dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah mengenal pasti pemilik bot berdaftar.
“Kelancaran operasi BUDI95 kekal menjadi keutamaan. Setakat jam 6 petang hari ini, jumlah pembelian petrol RON95 bersubsidi melalui sistem BUDI95 telah merekodkan transaksi bernilai kira-kira RM84.2 juta,” katanya.
Ia melibatkan lebih daripada 42.3 juta liter petrol RON95. Daripada jumlah tersebut, Kerajaan telah menyalurkan subsidi sebanyak RM27.8 juta bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.
BACA JUGA: BUDI95 Catat Tiga Juta Pengguna, Jualan Lebih RM91 Juta Dalam Tempoh Empat Hari – Amir Hamzah
“Sejak pengenalan BUDI95 secara berperingkat mulai 27 September 2025, seramai lebih 3 juta pengguna telah memanfaatkan BUDI95 dengan jumlah keseluruhan transaksi petrol bersubsidi yang direkodkan adalah sebanyak RM255.6 juta, melibatkan 128.4 juta liter petrol dan subsidi berjumlah RM67.0 juta disalurkan oleh Kerajaan.
“Kerajaan MADANI kekal komited memastikan program subsidi bersasar ini berjalan dengan lancar, telus dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“MoF bersama agensi berkaitan akan terus memantau pelaksanaan BUDI95 dan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu lagi.
Sumber: Kementerian Kewangan
The post BUDI95: Kerajaan Setuju Beri Pemandu E-hailing Sepenuh Masa Kelayakan Tambahan appeared first on Siakap Keli.