
![]()
CHANGLUN – Lapan sekeluarga yang terperangkap di sebuah dusun di Kampung Wang Perah di sini selepas kawasan itu dinaiki air akibat limpahan sungai berjaya diselamatkan pasukan bomba malam ini.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 8.11 malam.
“Kita dimaklumkan bahawa lapan sekeluarga terperangkap di sebuah dusun selepas air sungai di kawasan tersebut melimpah.
“Sehubungan itu, Pusat Gerakan Operasi mengarahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi menyelamat,” katanya di sini hari ini.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba berdepan kesukaran untuk menghampiri kawasan berkenaan menggunakan jentera.
“Anggota kemudian menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan berjaya menemui empat lelaki dewasa, tiga wanita dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki.
“Kesemua mereka berjaya diselamatkan tanpa mengalami sebarang kecederaan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE