Pejuang keadilan mesti kuasai seni mentadbir – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa perjuangan menuntut keadilan tidak bermakna tanpa kebijaksanaan dalam mentadbir.

Beliau menjelaskan, mereka yang memperjuangkan keadilan mesti menguasai seni mentadbir dengan bijak, sabar dan tanpa keangkuhan agar perubahan yang diperjuangkan juga berkekalan.

“Kepimpinan sejati menuntut kita mengubah kemarahan menjadi tindakan, agar prinsip moral diterjemahkan kepada dasar, dan belas kasihan menjadi tindakan yang berkekalan.

“Mereka yang memperjuangkan keadilan mesti juga menguasai seni mentadbir. Kita telah melihat banyak revolusi yang berjaya meruntuhkan kezaliman, tetapi gagal membina semula selepasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Persidangan Kuala Lumpur mengenai Perintah Antarabangsa Baru yang Adil dan Berperikemanusiaan 2025 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini hari ini.

Tambah beliau, Gaza menjadi simbol bahawa moral dan kuasa jarang seiring, namun ia harus wujud bersama bagi memastikan keseimbangan pentadbiran dapat dipertahankan.

“Pendekatan Malaysia ialah ‘active non-alignment’ (ketidakberpihakan aktif). Ia bukan berkecuali, bukan juga tidak tegas. Kita bekerjasama dengan semua, tetapi keputusan kita berpaksikan nilai dan prinsip kita sendiri.

“Kita akan bekerjasama apabila ia melibatkan keadilan serta keamanan, dan ‘tidak’ apabila sebaliknya. Diplomasi bukanlah untuk meredakan kemarahan atau menonjolkan diri, tetapi untuk melindungi kepentingan dan memajukan keamanan dalam dunia yang tidak sempurna.

“Diplomasi sejati ialah ujian ketahanan dan ia menuntut keseimbangan, disiplin dan keberanian untuk terus teguh walaupun dunia berubah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

The post Pejuang keadilan mesti kuasai seni mentadbir – PM appeared first on Kosmo Digital.

Read original article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Need Help?