Seorang Anggota Tentera Maut, Enam Lagi Cedera Trak Tentera Terbabas Di Menora
IPOH, 1 Okt (Bernama) — Seorang anggota tentera maut manakala enam lagi cedera selepas sebuah trak tentera terbabas dalam kemalangan di KM257 Lebuhraya Utara Selatan Arah Utara, selepas Terowong Menora di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 4.59 petang tadi, dan pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Kuala Kangsar dan Meru Raya dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Lima mangsa telah dikeluarkan sebelum jentera sampai, manakala dua mangsa tersepit di bahagian belakang.
“Mangsa yang meninggal dunia telah berjaya dikeluarkan pada jam 5.54 petang dan seorang lagi mangsa yang cedera berjaya dikeluarkan pada jam 6.14 petang,” katanya dalam kenyataan.
Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar dan Hospital Taiping untuk tindakan lanjut.
Sumber: Bernama
The post Seorang Anggota Tentera Maut, Enam Lagi Cedera Trak Tentera Terbabas Di Menora appeared first on Siakap Keli.