EPL: Bekas jurulatih Man. United dalam radar Wolves

LONDON – Bekas pengurus Manchester United, Erik ten Hag dilaporkan antara salah seorang yang berada dalam perhatian Wolverhampton Wanderers untuk menggantikan Vitor Pereira yang dipecat baru-baru ini.

Ten Hag ketika ini tidak terikat dengan mana-mana kelab sejak dipecat Bayer Leverkusen pada 1 September lalu selepas hanya tiga perlawanan dan 62 hari bersama bekas juara Jerman itu.

Reputasi besar dimilikinya membuatkan namanya kekal relevan untuk mengendalikan kelab-kelab dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) berdasarkan pencapaiannya menghadiahkan dua gelaran buat United.

Bagaimanapun, pengendali dari Belanda itu perlu bersaing dengan seorang lagi pengurus, Gary O’Neill yang pernah membimbing Wolves dari Ogos 2023 hingga Disember 2024 sebelum beliau turut dipecat kelab berkenaan.

Sebagai rekod, Pereira akhirnya ditunjukkan jalan keluar selepas gagal mencatat kemenangan apabila hanya mampu mengutip dua mata daripada 10 perlawanan yang menyaksikan Wolves kini terperosok di tangga tercorot EPL.

Difahamkan, peminat-peminat Wolves tidak kisah sama ada Ten Hag atau O’Neill dilantik kerana mereka lebih kecewa dengan kegagalan pemilik kelab berkenaan terutamanya pengerusi, Jeff Shi.

Ini disebabkan tindakannya membenarkan penjualan ramai pemain bernama besar seperti Matheus Cunha yang berhijrah ke Manchester United dan Rayat Ait-Nouri menyertai Manchester City musim ini.

Selain Ten Hag dan O’Neill, beberapa calon turut dikaitkan dengan jawatan tersebut antaranya bekas pemain tengah United yang pernah mengendalikan Middlesbrough, Michael Carrick serta Rob Edwards (Luton Town). – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Need Help?