
![]()
SERDANG – Seorang lelaki warga emas yang ditemui selamat hari ini selepas dilaporkan hilang ketika menjala ikan di kawasan longkang besar berhampiran Jalan Taman Lestari Putra, Seri Kembangan, semalam, berada dalam keadaan lemah.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan lelaki terbabit daripada seorang wanita berusia 28 tahun, semalam.
Menurutnya, mangsa yang berusia 74 tahun dikatakan telah keluar dari rumah di Taman Lestari Putra, Seri Kembangan.
“Warga emas berkenaan dijumpai oleh pangadu dan pasukan penyelamat di tepi longkang besar Jalan Persiaran Kota Perdana, Seri Kembangan.
“Mangsa didapati dalam keadaan lemah dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) Serdang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat jenayah dengan menghubungi IPD Serdang di talian 03-8074 2222 atau di mana-mana balai polis
Kosmo! sebelum ini, melaporkan seorang warga emas yang dilaporkan hilang sejak semalam, berjaya ditemui dalam keadaan selamat pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, mangsa dikenali sebagai Saharun Hashim ditemui pada pukul 9.55 pagi selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula pagi ini. – KOSMO! ONLINE