
![]()
ALOR GAJAH – Keceriaan rombongan dari Temerloh, Pahang yang datang ke Melaka bagi meraikan Hari Keluarga bertukar pilu selepas seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemukan lemas di kolam renang sebuah rumah inap di Durian Tunggal, di sini, kelmarin.
Mangsa dipercayai telah terjatuh ke dalam kolam tidak lama selepas keluarga tersebut selesai mengadakan penyampaian hadiah acara sukaneka pada pukul 10 malam.
Menurut sumber, insiden yang menimpa kanak-kanak itu disedari bapa saudaranya pada pukul 10.50 malam apabila terlihat mangsa dalam keadaan terapung di dalam kolam.
Katanya, ahli keluarga cuba menyelamatkan mangsa dengan memberikan bantuan pernafasan (CPR) sementara menunggu ketibaan ambulans dan pasukan perubatan kira-kira 40 minit kemudian.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan kecemasan, namun doktor mengesahkan kanak-kanak itu meninggal dunia pada pukul 11.45 malam.
“Bedah siasat dijalankan pada pagi semalam sebelum jenazah dituntut Unit Khidmat Van Jenazah (UKVJ) Melaka,” katanya di sini, hari ini.
Tambahnya, mangsa bersama ibu dan bapanya serta tujuh buah keluarga lain bertolak dari Temerloh dengan menaiki bas bagi menghadiri program hari keluarga pada Jumaat lalu dan menginap di rumah inap itu yang mempunyai kemudahan kolam renang.
“Ketika kejadian, kira-kira pukul 10 malam, semua ahli keluarga berada di dalam rumah, manakala bapa mangsa berada di bahagian belakang menyediakan barbeku.
“Ibu mangsa berusia 36 tahun pula mendakwa kali terakhir dia melihat anaknya itu sekitar pukul 9 malam ketika mangsa naik ke bilik atas untuk bermain,” ujarnya.
Difahamkan, jenazah telah dimandi dan dikafankan di Bilik Wakaf Bukit Bayan sebelum dibawa pulang ke Kampung Sungai Nipah, Sungai Besar dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 23, Sungai Nibong, Pulau Pinang. – KOSMO! ONLINE