
![]()
CANBERRA – Seorang doktor haiwan di Australia berdepan detik cemas apabila serpihan meteorit atau tahi bintang jatuh menimpa cermin kereta Tesla yang baru dibelinya, lapor portal berita MailOnline.
Kejadian berlaku sekitar pukul 9 malam (waktu tempatan) di Lebuh Raya Augusta, kira-kira 40 kilometer dari bandar Port Germein, 19 Oktober lalu.
Andrew Melville-Smith berkata, objek angkasa lepas itu jatuh ketika dia dalam perjalanan pulang selepas mengambil Tesla Model Y terbaharu.
“Saya sangat terkejut. Saya masih ingat saya cuba membuang zarah-zarah kaca daripada muka saya sambil berasa keliru,” kata Smith.
Dia bertambah terkejut selepas mendapati cermin hadapan keretanya kelihatan seperti mencair.
Menurut Smith, dia memandu pada kelajuan 110 kilometer sejam tanpa hujan atau kilat semasa kejadian.
Sementara itu, Muzium Australia Selatan telah memohon kebenaran untuk mengakses kereta tersebut bagi siasatan lanjut selain berharap dapat mencari serpihan meteorit tersebut .
Saintis-saintis percaya insiden tersebut adalah pelanggaran pertama meteorit dengan kenderaan yang sedang bergerak – AGENSI