
![]()
PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket perjudian dalam talian dan pembekalan mesin slot hasil serbuan ke atas tujuh premis sekitar Damansara dan Subang Jaya pada 9 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, operasi Bahagian D7 yang bermula pukul 2 petang itu menyasarkan pejabat dan gudang yang dijadikan pusat pembangunan platform perjudian dalam talian.
“Hasil serbuan, seramai 147 individu berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun ditahan, terdiri daripada 140 rakyat tempatan termasuk 110 lelaki dan 30 wanita, serta tujuh warga asing melibatkan enam lelaki dan seorang wanita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, turut dirampas dalam operasi itu pelbagai peralatan dan perkakasan yang digunakan untuk membangunkan platform perjudian dalam talian serta mesin slot.
“Antaranya 139 komputer riba, 182 telefon bimbit, 126 monitor, lima mesin slot, sembilan komputer meja dan beberapa dokumen kerja,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 133 individu akan dituduh atas kesalahan mempromosi perjudian di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dibaca bersama Seksyen 120B Kanun Keseksaan
“Siasatan mendapati semua premis yang diserbu tidak mempunyai sebarang kebenaran daripada pihak berkuasa termasuk Kementerian Kewangan untuk menjalankan aktiviti perjudian,” katanya.
Sementara itu, tujuh warga asing yang ditahan turut berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat pas atau permit.
“PDRM sedang meneliti untuk mengambil tindakan lanjut di bawah undang-undang lain termasuk Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” katanya. – KOSMO! ONLINE